Berkenaan Khuf (Kasut Yang Diperbuat Daripada Kulit)
1 – Memakai khuf dalam keadaan suci (berwudhuk)
“aku bermusafir bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan. Lalu aku ingin membuka menanggalkan khuf Baginda. Kemudian baginda bersabda: Biarkan kedua-duanya. Ini kerana, aku memakainya dalam keadaan kedua-duanya suci. Lalu baginda menyapu di atas kedua-dua khufnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, an-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi)
Kata imam an-Nawwi rahimahullah:
“...bahawa tidak boleh menyapu khuf kecuali memakainya selepas menyempurnakan wudhuk.” (Rujuk syarh sahih Muslim, jil. 3. 170)
2 – Khuf mestilah dalam keadaan suci (dari najis)
Abu Said al-Khudri r.a. berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w. mengimami solat para sahabatnya maka baginda telah menanggalkan kedua-dua belah seliparnya lalu meletakkan kedua-duanya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat perbuatan itu, mereka juga menanggalkan selipar mereka.
Setelah selesai solat, baginda bertanya: Mengapa kamu semua menanggalkan selipar kamu? Jawab mereka: Kami telah melihat engkau menanggalkannya lalu kami pun menanggalkan selipar kami.
Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku memberitahu bahawa terdapat kotoran (najis). Oleh itu, apabila sesorang datang ke masjid, lihatlah selipar mereka. Jika dia melihat ada kotoran atau najis pada seliparnya, sapukanlah ke tanah dan solatlah menggunakan selipar itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ahmad, ad-Darimi, Ibn Khuzaimah, dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zhahabi dan al-Baohaqi. Juga al-Albani di dalam al-Irwa, m/s. 284)
3 – Sapuan hanya boleh dibuat jika berhadas kecil. Jika hadas besar, wajiblah menanggalkannya dan mandi wajib
Sofwan bin ‘Assal r.a. berkata: “Apabila kami bermusafir, Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami agar tidak menanggalkan khuf selama tiga hari tiga malam dan tidak menanggalkannya jika buang air besar, air kecil, dan tidur kecuali kerana junub.” (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, an-Nasai’e, Ibn Khuzaimah, Abdul Razzaq, Ibn abi Syaibah, dan al-Baihaqi. Disahasankan oleh al-Albani di dalam al-Irwa, m.s. 104)
Kata al-Imam as-Syaukani r.h.: “Hadis ini merupakan dalil bahawa tidak perlu menanggalkan khuf dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan berhadas kecil selagi mana tidak berjunub.” (Nail al-Authar, jil. 1, m.s. 231)
4 – Waktu (sela masa) dibolehkan bagi menyapu khuf
Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. menetapkan (tempoh menyapu khuf) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sheikh Ibn Uthaimin r.h. menjelaskan hal ini sebagai katanya: “Berdasarkan kaedah ini, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendapat paling rajih (tepat) adalah permulaan tempoh (hari) sapuan dikira ketika mula menyapu khuf dan bukannya ketika (mula) berhadas.” (Rujuk Syarh al-Mumti’, jil. 1. m.s. 208)
Imam an-Nawawi juga menjelaskan sebagai katanya: “Hadis ini merupakan hujah yang terang dan dalil yang jelas bahawa syarat menyapu khuf telah ditetapkan waktunya, iaitu selama tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad, dan jumhur ulama terdiri daripada para sahabat serta generasi selepas mereka.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, m.s. 176 dan al-Muhalla, jil. 2, m.s. 87-89)
5 – Kaedah sapuan ke atas khuf
Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Kalaulah hukum-hukum agama ini terbina atas dasar akal, tentulah menyapu di bahagian bawah khuf itu lebih afdhal berbanding atasnya. Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Daruqutni, al-Baihaqi. Ibnu Hajar mengklasifikasikan sanadnya sebagai sahih. Dan al-Albani turut mensahihkannya di dalam al-Irwa, m/s. 103)
Al-Sha’nani r.h. menjelaskan: “Bahawa hadis ini menunjukkan sapuan hanya di atas khuf dan tidak ada cara selain itu. Jangan sesekali menyapu di bawah khuf.” (Rujuk Subul al-Salam, jil. 1, m/s. 22)
Ibn Qayyim juga menjelaskan: “Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya. Tidak sahih riwayat mengenai sapuan di bawah khuf kecuali terdapat hadis yang munqati’ (terputus sanadnya). Sedangkan, hadis yang sahih menyatakan sebaliknya.” (Rujuk Zaad al-Ma’ad, jil. 1, m/s. 199)
Al-Auza’i r.a. berkata: “Nabi s.a.w. menyapu dengan kedua-dua belah tapak tangannya di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan menarik ke atas hingga ke betis.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 454)
- Sapu dengan sekali sapuan sahaja:
Al-Fadhl bin Bisyrin berkata: “Aku telah melihat Jabir bin Abdullah berwudhuk lalu menyapu di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan, iaitu daripada hujung khuf ke atas. Kemudian, dia telah menunaikan solat lima waktu. Katanya: Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. melakukan begitu. Oleh itu, aku pun turut melakukan seperti apa yang aku lihat Rasulullah s.a.w. lakukan.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 453)
Nafi’ berkata: “Aku telah melihat Ibn Umar r.a. menyapu atas kedua-dua belah khufnya, iaitu sekali sapuan menggunakan kedua-dua belah tangannya. (Rujuk Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 220 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 445)
Berkenaan Selain Khuf (Kasut, stokin, dan seumpamanya...)
6 - Bolehkah Menyapu Kepada Sarung Kaki (al-Jaurab) Menggantikan Khuf?
Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah khuf dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi - sebagai hasan sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa dan Tamam al-Minnah)
Al-Syaukani r.h. berkata: “Hadis telah menunjukkan bahawa boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab.” (Rujuk Nail al-Authar, jil. 1, m/s. 228)
Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah – Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sunan Ibn Majah)
‘Amru bin Huraith r.a. berkata: “aku telah melihat ali bin abu Talib kencing. Kemudian, beliau berwudhuk sambil menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Ibn abi syaibah, jil. 1, m/s. 189 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)
Hammam bin al-Harith r.a. berkata: “Abu Mas’ud telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis Riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi syaibah, jil. 1, m/s. 188 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)
Menurut Qatadah r.a., bahawa Anas bin Malik r.a. telah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi Syaibah, jil. 1, m/s. 190 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462-463)
Yahya al-Buka’ r.a. pernah mendengar Ibn Umar r.a. berkata: “Menyapu di bahagian atas al-Jaurab sama seperti menyapu di bahagian atas kedua-dua belah khuf.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn abi Syaibah, jil. 1, m/s. 189, Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 463 dan al-Baihaqi, jil. 1, m/s. 285)
Ibn Taimiyyah r.h. menjelaskan: “Boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab apabila ia digunakan semasa berjalan sama ada diperbuat daripada kulit atau tidak mengikut pendapat ulama adalah yang paling sahih (tepat).” (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, jil. 21, m/s. 214-215)
Ibn Qayyim r.h. berkata: “Mengenai keharusan menyapu di bahagian atas al-Jaurab adalah pendapat kebanyakan para ilmuan. Antara mereka yang kami maksudkan adalah terdiri daripada para sahabat, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan al-Tsauri, ‘Atho’ bin abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Said bin al-Musayyab, dan Abu Yusuf. Kami tidak mengetahui bahawa terdapat sebahagian sahabat mengingkari perbuatan nama-nama yang kami sebutkan.” (Rujuk Tahzib al-Sunan, jil. 1, m/s. 188-189, dan al-syarh al-Mumti’, jil. 1. m/s. 193)
Sheikh ‘Uthaimin r.h. menjelaskan: “Apa sahaja yang dipakai pada kaki sama ada dinamakan khuf, jaurab (stokin), muq, dan seumpamanya, hukum menyapu di bahagian atasnya adalah boleh. Ini kerana, ‘illah (sebab dan tujuan) semua itu adalah sama.” (Rujuk al-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 193)
7 – Bolehkah Menyapu Di Atas Khuf dan al-Jaurab Yang koyak?
Sufyan at-Tsauri r.a. berkata:
“Sapulah di bahagian atas apa sahaja yang dipakai di kaki. Bukankah engkau dapati khuf golongan muhajirin dan ansar berkenaan koyak, uzur, dan lusuh.” (Hadis riwayat abdul Razzaq dan al-Baihaqi)
Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Pendapat paling rajih (tepat) ialah boleh menyapu bahagian atas al-Jaurab yang koyak atau nipis sehingga menampakkan kulitnya.” (Rujuk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 167 dan Risalah al-Mashu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 84-86)
8 – Adakah Terbatal Wudhuk Sekiranya Berhadas, Dan Kemudiannya Berwudhuk Semula Berserta Khufnya (dengan memakai khuf) Lalu Membuka Khuf (Selepas Wudhuk)
Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa: “Tidak terbatal wudhuk orang yang menyapu khuf dan serban disebabkan dia menanggalkannya (membuka kasut setelah berwudhuk dengannya; juga bagi serban yang menggantikan sapuan ke atas kepada). Begitu juga tidak terbatal tempohnya disebabkan perbuatan itu. Dia juga tidak wajib menyapu kepala atau membasuh kedua-dua kakinya (selagi masih berada di dalam tempoh sapuan).” (Rujuk al-Ikhtiyarat, m/s. 15, Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 86-88 dan majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179)
9 – Terbatalkah Wudhuk Serta-Merta Disebabkan Tempoh Sapuan Telah Tamat?
Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Wudhuk tidak terbatal disebabkan tempoh sapuan telah tamat. Ini kerana, apa yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. hanyalah tempoh (yang membolehkan) sapuan yang berakhir bukannya tempoh wudhuk berakhir. Baginda langsung tidak menetapkan tempoh suci berakhir (terbatal wudhuk) sehingga kita sanggup mengatakan bahawa apabila tempoh sapuan telah tamat maka wudhuk pun terbatal. Bahkan, apa yang ditetapkan ialah mengenai sapuan. Sepatutnya kita katakan: Apabila tempoh telah tamat, tidak boleh menyapu khuf.
Tetapi, jika kamu menyapu khuf dalam tempoh belum berakhir, engkau berada dalam keadaan suci (berwudhuk). Kamu berada dalam keadaan wudhuk yang sempurna berdasarkan dalil syarak. Setiap perkara yang dilakukan dengan sempurna berdasarkan dalil syarak, sudah tentu tidak membatalkan wudhuk kecuali ada dalil syarak yang lain membuktikan ia terbatal. Sedangkan, tidak ada dalil mengenai perkara itu.” (juk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin dan Rasa-il al-Sheikh al-‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179 dan Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 92-93)
Kesimpulan:
Sheikh al-Muhaddith Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkata: “Setelah mengetahui perkara itu, seseorang tidak boleh lagi berbelah bahagi untuk menerima rukhsah (keringanan) ini selepas tsabit hadis mengenainya. Lebih-lebih lagi setelah para sahabat melakukannya.” (Rujuk Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 54)
i - Apabila seseorang itu berwudhu' dengan sempurna lalu kemudian terus memakai kasut dalam keadaan wudhuk (memakai kasut dalam keadaan berwudhuk – suci dari hadas) maka apabila dia hendak mengulangi wudhuknya di kemudian masa dia tidak perlu membasuh kaki dengan air (tidak perlu buka penutup kakinya) tetapi mencukupi dengan menyapu di bahagian atas kasut tersebut.
ii - Syarat kasut yang dipakai adalah sesuatu yang menutupi dari jari-jari kaki sehingga ke buku lali (angkle). Jikalau kasut tersebut tidak mencapai hingga ke buku lali maka memadai dengan memakai sarung kaki yang menutupi buku lalinya itu.
iii - Kebolehan menyapu di atas kasut terhad kepada satu hari penuh bagi orang yang berada di kampung halaman atau tiga hari penuh bagi orang yang berada dalam perjalanan.
Antara Faedah Dan Hikmah Keringanan Daripada Hal Ini:
i – Merupakan contoh keringanan (rukhsah) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. yang wajar diikuti.
ii – Memberi keringanan dan kemudahan ketika dalam perjalanan di tempat-tempat yang menyukarkan kita untuk membuka kasut, seperti di dalam hutan, padang pasir yang panas, dan tempat bersalji yang sejuk.