Saturday, February 9, 2008

Bagaimana menghilangkan Marah

Bagaimana menghilangkan Marah

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya,maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki.Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair

"Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau".

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.". Pernah ditanya Ahnaf bin Qais,bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab :" Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas.

Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman

"Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi muali hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah.

Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi.Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu keranawudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah.

Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Wassalam


Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah,sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insha Allah kemarahan akan mulai reda.

Dengan cara demikian, seperti ulasan saudara fansuri, keegoan akan berkurangan.Tetapi apa yang berlaku, apabila naik marah, yang bersandar akan mula menetapkan duduknya dan seterusnya berdiri, maka kemarahan sudah tidak dapat dikawal.

Wassalam..


Marah ertinya gerakan nafsu diri, seketika meluap darah jantung dari suruhan syahwat utk mempertahankan diri dan utk melepaskan dendam. Cuma kemarahan itu tidak boleh timbul kalau tidak pada tempat dan waktunya. Bila kemarahan telah timbul tidak ditahan dgn fikiran dan akal sebelum dia menjalar, tidak ubahnya dia dengan api yg membakar, darah naik laksana wap, memenuhi otak,sehingga gelap menyelubungi hati sehingga tidak sanggup berfikir. Menyelimuti seluruh urat saraf, penglihatan nampak kecil bila memandang orang, ketika itu pertimbangan hilang, akal tertutup, fikir tersentak,angan-angan habis.

Orang yg marah adalah laksana gua batu yg terbakar api terkurung didalamnya dan angin masuk juga mengipasnya sehinggalah terkumpullah di dalam gua asap dan wap yang menambahkan panas.. Kedengaran api memakan kelilingnya habis menjadi bara Meskipun diusahakan menyiram.. maka air penyiram itu akhirnya akan menjadi minyak tanah menambah kerasnya api.berbanyak-kanlah.. beristighfar itulah senjata orang2 mukmin.

wassalam

Friday, February 8, 2008

Nikah Selepas Mengandung

Soalan::

Saya dah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata.Sebelum berkahwin,saya berzina dengan suami sehingga hamil.Kami bernikah ketika usia kandungan masuk bulan keenam.Sekarang saya benar2 menyesali keterlanjuran dulu.Bagaimanakah caranya untuk bertaubat? Adakah anak saya yang pertama mesti dibintikan dengan Abdullah?Adakah menjadi kesalahan jika dibintikan dengan nama suami?Jika anak ingin berkahwin kelak,adakah suami saya boleh menjadi wali?

Jawapan ::

Anak yang puan lahirkan sudah jelas anak hasil hubungan luar nikah.Disebabkan dia lahir sebelum perkahwinan cukup enam bulan kerana puan hanya berkahwin selepas hamil enam bulan,dia tidak boleh dibintikan dengan ayahnya.Memang salah dari segi agama jika masih meletakkan nama ayahnya.Anak ini tidak boleh diwalikan bapanya ketika pernikahan kerana tidak sah.Bertaubat adalah cara yang terbaik untuk kembali ke pangkal jalan dan menghentikan perbuatan berkenaan.Sebagai tanda benar2 insaf,lipat gandakan lagi kebaikan yang mampu dilakukan.

Bolehkah Berwudhuk Tanpa Menanggalkan Khuf (kasut kulit), al-Jaurab (Stokin), Muq, Kasut, Dan Seumpamanya (Penutup Kaki)


Berkenaan Khuf (Kasut Yang Diperbuat Daripada Kulit)

1 – Memakai khuf dalam keadaan suci (berwudhuk)

“aku bermusafir bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan. Lalu aku ingin membuka menanggalkan khuf Baginda. Kemudian baginda bersabda: Biarkan kedua-duanya. Ini kerana, aku memakainya dalam keadaan kedua-duanya suci. Lalu baginda menyapu di atas kedua-dua khufnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, an-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

Kata imam an-Nawwi rahimahullah:

“...bahawa tidak boleh menyapu khuf kecuali memakainya selepas menyempurnakan wudhuk.” (Rujuk syarh sahih Muslim, jil. 3. 170)

2 – Khuf mestilah dalam keadaan suci (dari najis)

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w. mengimami solat para sahabatnya maka baginda telah menanggalkan kedua-dua belah seliparnya lalu meletakkan kedua-duanya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat perbuatan itu, mereka juga menanggalkan selipar mereka.

Setelah selesai solat, baginda bertanya: Mengapa kamu semua menanggalkan selipar kamu? Jawab mereka: Kami telah melihat engkau menanggalkannya lalu kami pun menanggalkan selipar kami.

Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku memberitahu bahawa terdapat kotoran (najis). Oleh itu, apabila sesorang datang ke masjid, lihatlah selipar mereka. Jika dia melihat ada kotoran atau najis pada seliparnya, sapukanlah ke tanah dan solatlah menggunakan selipar itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ahmad, ad-Darimi, Ibn Khuzaimah, dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zhahabi dan al-Baohaqi. Juga al-Albani di dalam al-Irwa, m/s. 284)

3 – Sapuan hanya boleh dibuat jika berhadas kecil. Jika hadas besar, wajiblah menanggalkannya dan mandi wajib

Sofwan bin ‘Assal r.a. berkata: “Apabila kami bermusafir, Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami agar tidak menanggalkan khuf selama tiga hari tiga malam dan tidak menanggalkannya jika buang air besar, air kecil, dan tidur kecuali kerana junub.” (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, an-Nasai’e, Ibn Khuzaimah, Abdul Razzaq, Ibn abi Syaibah, dan al-Baihaqi. Disahasankan oleh al-Albani di dalam al-Irwa, m.s. 104)

Kata al-Imam as-Syaukani r.h.: “Hadis ini merupakan dalil bahawa tidak perlu menanggalkan khuf dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan berhadas kecil selagi mana tidak berjunub.” (Nail al-Authar, jil. 1, m.s. 231)

4 – Waktu (sela masa) dibolehkan bagi menyapu khuf

Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. menetapkan (tempoh menyapu khuf) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sheikh Ibn Uthaimin r.h. menjelaskan hal ini sebagai katanya: “Berdasarkan kaedah ini, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendapat paling rajih (tepat) adalah permulaan tempoh (hari) sapuan dikira ketika mula menyapu khuf dan bukannya ketika (mula) berhadas.” (Rujuk Syarh al-Mumti’, jil. 1. m.s. 208)

Imam an-Nawawi juga menjelaskan sebagai katanya: “Hadis ini merupakan hujah yang terang dan dalil yang jelas bahawa syarat menyapu khuf telah ditetapkan waktunya, iaitu selama tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad, dan jumhur ulama terdiri daripada para sahabat serta generasi selepas mereka.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, m.s. 176 dan al-Muhalla, jil. 2, m.s. 87-89)

5 – Kaedah sapuan ke atas khuf

Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Kalaulah hukum-hukum agama ini terbina atas dasar akal, tentulah menyapu di bahagian bawah khuf itu lebih afdhal berbanding atasnya. Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Daruqutni, al-Baihaqi. Ibnu Hajar mengklasifikasikan sanadnya sebagai sahih. Dan al-Albani turut mensahihkannya di dalam al-Irwa, m/s. 103)

Al-Sha’nani r.h. menjelaskan: “Bahawa hadis ini menunjukkan sapuan hanya di atas khuf dan tidak ada cara selain itu. Jangan sesekali menyapu di bawah khuf.” (Rujuk Subul al-Salam, jil. 1, m/s. 22)

Ibn Qayyim juga menjelaskan: “Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya. Tidak sahih riwayat mengenai sapuan di bawah khuf kecuali terdapat hadis yang munqati’ (terputus sanadnya). Sedangkan, hadis yang sahih menyatakan sebaliknya.” (Rujuk Zaad al-Ma’ad, jil. 1, m/s. 199)

Al-Auza’i r.a. berkata: “Nabi s.a.w. menyapu dengan kedua-dua belah tapak tangannya di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan menarik ke atas hingga ke betis.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 454)

- Sapu dengan sekali sapuan sahaja:

Al-Fadhl bin Bisyrin berkata: “Aku telah melihat Jabir bin Abdullah berwudhuk lalu menyapu di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan, iaitu daripada hujung khuf ke atas. Kemudian, dia telah menunaikan solat lima waktu. Katanya: Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. melakukan begitu. Oleh itu, aku pun turut melakukan seperti apa yang aku lihat Rasulullah s.a.w. lakukan.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 453)

Nafi’ berkata: “Aku telah melihat Ibn Umar r.a. menyapu atas kedua-dua belah khufnya, iaitu sekali sapuan menggunakan kedua-dua belah tangannya. (Rujuk Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 220 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 445)

Berkenaan Selain Khuf (Kasut, stokin, dan seumpamanya...)

6 - Bolehkah Menyapu Kepada Sarung Kaki (al-Jaurab) Menggantikan Khuf?

Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah khuf dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi - sebagai hasan sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa dan Tamam al-Minnah)

Al-Syaukani r.h. berkata: “Hadis telah menunjukkan bahawa boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab.” (Rujuk Nail al-Authar, jil. 1, m/s. 228)

Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah – Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sunan Ibn Majah)

‘Amru bin Huraith r.a. berkata: “aku telah melihat ali bin abu Talib kencing. Kemudian, beliau berwudhuk sambil menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Ibn abi syaibah, jil. 1, m/s. 189 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)

Hammam bin al-Harith r.a. berkata: “Abu Mas’ud telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis Riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi syaibah, jil. 1, m/s. 188 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)

Menurut Qatadah r.a., bahawa Anas bin Malik r.a. telah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi Syaibah, jil. 1, m/s. 190 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462-463)

Yahya al-Buka’ r.a. pernah mendengar Ibn Umar r.a. berkata: “Menyapu di bahagian atas al-Jaurab sama seperti menyapu di bahagian atas kedua-dua belah khuf.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn abi Syaibah, jil. 1, m/s. 189, Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 463 dan al-Baihaqi, jil. 1, m/s. 285)

Ibn Taimiyyah r.h. menjelaskan: “Boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab apabila ia digunakan semasa berjalan sama ada diperbuat daripada kulit atau tidak mengikut pendapat ulama adalah yang paling sahih (tepat).” (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, jil. 21, m/s. 214-215)

Ibn Qayyim r.h. berkata: “Mengenai keharusan menyapu di bahagian atas al-Jaurab adalah pendapat kebanyakan para ilmuan. Antara mereka yang kami maksudkan adalah terdiri daripada para sahabat, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan al-Tsauri, ‘Atho’ bin abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Said bin al-Musayyab, dan Abu Yusuf. Kami tidak mengetahui bahawa terdapat sebahagian sahabat mengingkari perbuatan nama-nama yang kami sebutkan.” (Rujuk Tahzib al-Sunan, jil. 1, m/s. 188-189, dan al-syarh al-Mumti’, jil. 1. m/s. 193)

Sheikh ‘Uthaimin r.h. menjelaskan: “Apa sahaja yang dipakai pada kaki sama ada dinamakan khuf, jaurab (stokin), muq, dan seumpamanya, hukum menyapu di bahagian atasnya adalah boleh. Ini kerana, ‘illah (sebab dan tujuan) semua itu adalah sama.” (Rujuk al-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 193)

7 – Bolehkah Menyapu Di Atas Khuf dan al-Jaurab Yang koyak?

Sufyan at-Tsauri r.a. berkata:

“Sapulah di bahagian atas apa sahaja yang dipakai di kaki. Bukankah engkau dapati khuf golongan muhajirin dan ansar berkenaan koyak, uzur, dan lusuh.” (Hadis riwayat abdul Razzaq dan al-Baihaqi)

Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Pendapat paling rajih (tepat) ialah boleh menyapu bahagian atas al-Jaurab yang koyak atau nipis sehingga menampakkan kulitnya.” (Rujuk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 167 dan Risalah al-Mashu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 84-86)

8 – Adakah Terbatal Wudhuk Sekiranya Berhadas, Dan Kemudiannya Berwudhuk Semula Berserta Khufnya (dengan memakai khuf) Lalu Membuka Khuf (Selepas Wudhuk)

Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa: “Tidak terbatal wudhuk orang yang menyapu khuf dan serban disebabkan dia menanggalkannya (membuka kasut setelah berwudhuk dengannya; juga bagi serban yang menggantikan sapuan ke atas kepada). Begitu juga tidak terbatal tempohnya disebabkan perbuatan itu. Dia juga tidak wajib menyapu kepala atau membasuh kedua-dua kakinya (selagi masih berada di dalam tempoh sapuan).” (Rujuk al-Ikhtiyarat, m/s. 15, Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 86-88 dan majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179)

9 – Terbatalkah Wudhuk Serta-Merta Disebabkan Tempoh Sapuan Telah Tamat?

Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Wudhuk tidak terbatal disebabkan tempoh sapuan telah tamat. Ini kerana, apa yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. hanyalah tempoh (yang membolehkan) sapuan yang berakhir bukannya tempoh wudhuk berakhir. Baginda langsung tidak menetapkan tempoh suci berakhir (terbatal wudhuk) sehingga kita sanggup mengatakan bahawa apabila tempoh sapuan telah tamat maka wudhuk pun terbatal. Bahkan, apa yang ditetapkan ialah mengenai sapuan. Sepatutnya kita katakan: Apabila tempoh telah tamat, tidak boleh menyapu khuf.

Tetapi, jika kamu menyapu khuf dalam tempoh belum berakhir, engkau berada dalam keadaan suci (berwudhuk). Kamu berada dalam keadaan wudhuk yang sempurna berdasarkan dalil syarak. Setiap perkara yang dilakukan dengan sempurna berdasarkan dalil syarak, sudah tentu tidak membatalkan wudhuk kecuali ada dalil syarak yang lain membuktikan ia terbatal. Sedangkan, tidak ada dalil mengenai perkara itu.” (juk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin dan Rasa-il al-Sheikh al-‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179 dan Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 92-93)

Kesimpulan:

Sheikh al-Muhaddith Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkata: “Setelah mengetahui perkara itu, seseorang tidak boleh lagi berbelah bahagi untuk menerima rukhsah (keringanan) ini selepas tsabit hadis mengenainya. Lebih-lebih lagi setelah para sahabat melakukannya.” (Rujuk Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 54)

i - Apabila seseorang itu berwudhu' dengan sempurna lalu kemudian terus memakai kasut dalam keadaan wudhuk (memakai kasut dalam keadaan berwudhuk – suci dari hadas) maka apabila dia hendak mengulangi wudhuknya di kemudian masa dia tidak perlu membasuh kaki dengan air (tidak perlu buka penutup kakinya) tetapi mencukupi dengan menyapu di bahagian atas kasut tersebut.

ii - Syarat kasut yang dipakai adalah sesuatu yang menutupi dari jari-jari kaki sehingga ke buku lali (angkle). Jikalau kasut tersebut tidak mencapai hingga ke buku lali maka memadai dengan memakai sarung kaki yang menutupi buku lalinya itu.

iii - Kebolehan menyapu di atas kasut terhad kepada satu hari penuh bagi orang yang berada di kampung halaman atau tiga hari penuh bagi orang yang berada dalam perjalanan.

Antara Faedah Dan Hikmah Keringanan Daripada Hal Ini:

i – Merupakan contoh keringanan (rukhsah) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. yang wajar diikuti.

ii – Memberi keringanan dan kemudahan ketika dalam perjalanan di tempat-tempat yang menyukarkan kita untuk membuka kasut, seperti di dalam hutan, padang pasir yang panas, dan tempat bersalji yang sejuk.

Thursday, February 7, 2008

Wanita yang Menolak Perkahwinan

Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antara sebabnya ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Justeru itu ramai yang lebih rela menjadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan kerjaya masing-masing.

Kami akan menceritakan tentang kerugian yang dialami oleh wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang mempunyai peluang untuk berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas tadi.

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak.

Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki."

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang di jalan Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.

Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin.

Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan.

Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)." Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Fadhilat Bismillah





Membaca Bismillah setiap kali melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan sebenarnya memberi kebaikan yang sangat banyak. Allah sendiri memerintahkan para malaikat supaya mencatat pahala bagi umat manusia yang membaca Bismillah.

Seseorang yang membaca Bismillah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, akan aman dariapda gangguan syaitan, kecurian, maut yang mendadak dan bala. Sementara pasangan yang membacanya ketika hendak berjimak, akan melahirkan anak yang soleh dan bagi ibu bapanya kebajikan sejumlah tarikan nafas anak itu.

Membaca 41 kali Bismillah ke telingan orang yang pengsan, insya Allah dia akan segera sedar. Membaca 313 kali Bismillah serta 100 kali selawat ke atas Nabi SAW pada waktu pagi hari Ahad sewaktu matahari terbit dengan menghadap kiblat, insya Allah akan mendapat rezeki yang tidak terduga.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang bebal, eloklah dibaca Bismillah sebanyak 786 kali, kemudian ditiupkan pada air lalu diberi minum anak itu selama tujuh hari pada saat matahari terbit, insya Allah lenyaplah kebebebalannya. Perkara yang sama juga dilakukan kepada adik-beradik, suami, isteri atau sesiapa yang dimaksudkan.

Sesiapa yang membaca 50 kali Bismillah di hadapan orang orang zalim, akan tunduk dan takutlah orang zalim itu. Bagi perempuan yang hamil, tulislah 61 kali kalimah Bismillah hingga akhirnya dengan huruf Arab di atas kertas putih lalu sisipkannya ke perut wanita itu, insya Allah hidup anak yang dikandung itu.

Mereka yang berniaga, bacalah 786 kali di hadapan dagangannya lalu dihembuskan selama tujuh hari. Insya Allah dengan izin Allah akan majulah perniagaannya.

Dijodohkan di Syurga

Bersumber dari Raja’ bin Umar An-Nakha’i, dia pernah bercerita: “Dahulu di kota Kufah tinggallah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik. Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu. Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya, tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya.
Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat. Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: “Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku, dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.”

Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, “Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.”

Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu. Si gadis lalu berkata, “Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”

Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya.

Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku?”

Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair: Kasih...
cinta yang terindah adalah mencintaimu,
sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan.
Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu
burung syurga menjauh
dan malaikat menutup pintu.
Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, “Di mana engkau berada?”
Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair:
Aku berada dalam kenikmatan
dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir
berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat
yang tidak mungkin binasa
yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih
Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, “Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!”

“Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu. Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku!” jawab gadis kekasihnya itu.

Pemuda itu kembali berkata kepadanya, “Bila aku dapat melihatmu kembali?”

“Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari,” jawab kekasihnya.

Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayang-Nya kepada mereka berdua dan mempertemukannya kembali di syurga.

Hukum Aurat wanita

Berkaitan dengan hukum aurat perempuan secara jelasnya telah dinyatakan oleh Allah Taala dalam Al-Qur'an sebagai satu perintah dan kewajipan yang harus dilaksanakan oleh hambaNya yang mukmin mengikut keadaan dan situasi yang tertentu. Adalah menjadi satu kemestian "WAJIB" bagi setiap wanita akur dengan perintah Allah untuk memakai menutup kepala mereka dan jika perlu termasuk juga mukanya tanpa banyak soal dan tanpa alasan-alasan yang bodoh. Kiranya ada di antara mereka yang ingkar dengan perintah yang sudah termaktub dalam Kitabullah, ingatlah siksaan Allah adalah amat keras buat mereka!!!!!!. Sebagai melaksanakan kewajiban untuk menyebarkan yang HAQ ini, maka suluk bentangkan di sini dalil dan nas yang berkaitan dengan KEWAJIPAN MENUTIP AURAT bagi setiap wanita Islam yang mengaku beriman dengan Kitab Allah dan Rasulnya. Antaranya ialah sebagaimana berikut;

Nas Pertama

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur:31}

Nas Kedua

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]

Nas Ketiga {Dari Kitab-kitab karangan Ulama Muktabar]

1. Aurat antara muslimat dan bukan muslimat.
Khilaf ulama' dalam mentafsirkan kalimah `auNisaa' ihinna' dalam ayat 31 surah anNuur (24).
Menurut Tafsir Fakhrur_Razi, Jld 23, ms 207 menyatakan jumhur ulama' mentafsir kalimah itu sebagai wanita-wanita Islam sahaja. Dari tafsir Qurthubi (Jld 12, ms 233) juga mentafsirkan kalimah "aunisaa'ihinna" itu sebagai wanita muslimah sahaja.

Ini bermakna aurat wanita dihadapan wanita bukan Islam ialah muka dan dua tapak tangan. Imam Qurthubi membawa hujah perintah Umar alKhattab RA kepada Gabnurnya, Abu Ubaidah alJarrah supaya tidak membenarkan wanita Islam mandi
bersama wanita ahli Zimmah di permandian awam.

Pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur ialah pendapat Ibn Arabi (Ahkamul Qur'an, Jld 3, ms 326)
beliau berpendapat maksud `aunisaa'ihinna' (wanita mereka) itu bermaksud semua wanita yang baik akhlaqnya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Syaikh Ali Asyhabuni (mufassir baru dari Saudi (Tafsir Asyabuni) menyokong pendapat Ibn Arabi.

MASALAH PERTAMA:
Hukum lelaki yang baligh melihat perempuan ajnabi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa masalah di sekitar hukum ini:

a) Haram melihat kepada aurat perempuan yang ajnabi. Aurat perempuan di hadapan lelaki ajnabi sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur fuqahak ialah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan dua tapak tangan.

b) Fuqahak telah berselisih pendapat mengenai muka dan dua tapak tangan perempuan ajnabi, adakah ia aurat atau tidak.

Menurut sebahagian ulamak, kedua anggota ini adalah aurat yang wajib ditutup samada ia menimbulkan fitnah ataupun tidak, atau samada akan menaikkan syahwat kepada lelaki yang melihat ataupun tidak.

Sebahagiannya pula berpendapat bahawa kedua anggota ini bukanlah aurat yang wajib ditutup. Tidak diharamkan bagi seorang lelaki melihatnya.

Walaubagaimanapun mereka ini bersepakat mengatakan bahawa keduanya haram dilihat apabila akan menimbulkan fitnah. Ini bermakna mereka bersetuju mengatakan haram hukumnya bagi lelaki ajnabi melihat kedua anggota ini apabila menimbulkan fitnah atau melihat keduanya dengan syahwat.

c) Pengharaman melihat aurat bukan sahaja pada anggota yang masih berhubung atau melekat dengan tubuh badan, bahkan diharamkan juga melihatnya setelah ia bercerai dari tubuh badan seperti kuku, rambut, bulu kemaluan dan lain-lain.

Wajib menyimpan anggota atau bulu yang telah bercerai dari tubuh badan dari dilihat oleh lelaki atau perempuan ajnabi.

MASALAH KEDUA: Kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan melihat perempuan.

Perempuan tersebut wajib menutup anggota di antara pusat dan lutut sebagaimana auratnya di hadapan mahram.

MASALAH KETIGA: Lelaki yang hampir baligh.

Lelaki yang hampir baligh diharamkan melihat aurat perempuan yang ajnabi sebagaimana lelaki yang telah baligh (lihat masalah pertama).

MASALAH KEEMPAT: Lelaki yang terpotong zakarnya dan buah pelirnya

Lelaki ini diharuskan melihat perempuan yang ajnabi sebagaimana dia melihat mahramnya, iaitu selain anggota di antara pusat dan lututnya.

MASALAH KELIMA: Lelaki yang hanya mempunyai zakar sahaja tanpa buah pelir atau yang mempunyai buah pelir sahaja tanpa zakar

Lelaki ini seperti hukum lelaki yang normal, iaitu yang mempunyai zakar dan buah pelir (lihat masalah pertama).

MASALAH KEENAM: Hamba lelaki melihat tuannya (perempuan)

Jika hamba tersebut bersifat adil (tidak fasik) dan tuannya juga bersifat adil, maka harus melihatnya sebagaimana melihat mahram, iaitu selain dari anggota di antara pusat dan lutut.

MASALAH KETUJUH: Melihat hamba perempuan

Melihat hamba perempuan sebagaimana hukum melihat perempuan yang merdeka (lihat masalah pertama).

MASALAH KELAPAN: Melihat kanak-kanak perempuan

Harus melihat seluruh anggota kanak-kanak perempuan yang belum sampai peringkat diingini oleh lelaki kecuali pada farajnya.
Diharuskan kepada ibubapa, penjaga atau perempuan yang menyusukan kanak-kanak perempuan yang masih dalam peringkat menyusu dan asuhan melihat dan menyentuh farajnya. Kerana dalam usia begini, ibu ataupun pengasuh terpaksa membasuh farajnya dari najis, mengubatinya atau sebagainya.

Melihat dan menyentuh zakar kanak-kanak lelaki adalah sebagaimana faraj kanak-kanak perempuan.

MASALAH KESEMBILAN: Melihat perempuan yang telah tua

Imam al-Ghazali berkata bahawa hukum melihat perempuan ajnabi yang telah tua adalah sebagaimana hukum melihat perempuan yang masih muda.

MASALAH KESEPULUH: Melihat perempuan yang mahram (yang haram dinikahi seperti ibu, saudara perempuan dan sebagainya)

Seorang lelaki diharamkan melihat anggota di antara pusat dan lutut mahramnya. Dia diharuskan melihat selain dari anggota tersebut.

Dia juga diharuskan berkhalwat dan bermusafir bersama mahramnya.

MASALAH KESEBELAS: Lelaki melihat lelaki

Seorang lelaki diharuskan melihat selain dari anggota di antara pusat dan lutut lelaki lain.

MASALAH KEDUABELAS: Melihat lelaki muda belia yang belum ditumbuhi janggut atau bulu (amrad)

Haram melihatnya dengan syahwat.

MASALAH KETIGABELAS: Perempuan melihat perempuan

Sebagaimana hukum lelaki melihat lelaki (lihat masalah kesebelas).

MASALAH KEEMPATBELAS: Perempuan kafir melihat perempuan muslimah

Diwajibkan kepada perempuan muslimah menutup auratnya di hadapan perempuan kafir kerana tidak, berkemungkinan dia akan menceritakan auratnya kepada lelaki kafir.

MASALAH KELIMABELAS: Perempuan melihat lelaki yang ajnabi

Sebagaimana hukum lelaki melihat perempuan yang ajnabi (lihat Masalah pertama).

MASALAH KEENAMBELAS: Perempuan yang fasik melihat perempuan yang terpelihara kehormatannya

Perempuan yang terpelihara kehormatannya wajib menutup auratnya di hadapa perempuan yang fasik kerana melakukan zina atau lebian (hubungan seks antara perempuan dengan perempuan)

MASALAH KETUJUHBELAS: Suami melihat isteri


Di bawah ini adalah masalah yang berhubung kait dengan hukum ini:

a) Harus bagi suami melihat seluruh tubuh badan isterinya atau hamba perempuan yang halal untuknya, tetapi makruh melihat farajnya lebih-lebih lagi batin farajnya.

b) Diharuskan juga menyentuh farajnya. Manakala melihat dan menyentuh duburnya tanpa memasukkan zakar ke dalamnya adalah harus.

c) Pengharusan ini hanya berlaku ketika isterinya masih hidup lagi. Setelah kematiannya, hukumnya adalah sebagaimana melihat mahramnya (lihat masalah kesepuluh).

MASALAH KELAPANBELAS: Isteri melihat suami

Sebagaimana hukum suami melihat isteri (lihat masalah ketujuhbelas).

MASALAH KESEMBILANBELAS: Menyentuh sesuatu yang haram dilihat

Masalah di sekitar hukum ini ialah:
a) Haram menyentuh sesuatu yang haram dilihat sebagaimana yang tercatat di dalam masalah-masalah yang lalu, kerana menyentuh adalah lebih mendatangkan kenikmatan dan kelazatan lagi jika dibandingkan dengan melihat.

b) Haram bagi dua orang lelaki atau dua orang perempuan berbaring di dalam satu kain atau selimut dalam keadaan berbogel dan di atas satu tilam.

Ibubapa atau penjaga wajib memisahkan di antara kanak-kanak lelaki atau perempuan dari tempat tidur ibubapanya. Begitu juga antara adik beradik lelaki dan perempuan.

c) Haram memicit atau mengurut peha lelaki lain tanpa lapik. Jika berlapik, maka diharuskan tetapi dengan syarat tidak dikhuatirkan fitnah dan tidak dengan syahwat.

d) Haram menyentuh mahramnya, begitu juga sesama lelaki atau sesama perempuan sekalipun pada anggota yang harus dilihat seperti pada kaki atau perutnya, termasuk mengusapnya kecuali kerana hajat atau dilakukan kerana timbul dari perasaaan kasih sayang serta bebas dari fitnah dan syahwat.

e) Haram menyentuh muka perempuan yang ajnabi sekalipun diharuskan melihatnya kerana hendak meminang.

f) Hukum berjabat tangan.

i- Seorang lelaki diharamkan berjabat tangan dengan perempuan yang ajnabi. Dalil yang mendasari hukum ini ialah:

Dalil pertama:
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah r.a. mengenai bai'ah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap beberapa orang perempuan, Aisyah r.a. berkata:
" Demi Allah, tangan baginda tidak menyentuh seorang perempuan pun dalam pembai'atan itu. Baginda hanya membai'at mereka dengan perkataannya: "Benar-benar telah aku bai'at kamu atas hal itu." (Riwayat Bukhari)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari berkata:
"Maksud ucapan Rasulullah s.a.w.:
"Benar-benar telah bai'at kamu dengan ucapan."
adalah ucapan tanpa berjabat tangan sepertimana yang biasa terjadi, di mana lelaki berjabat tangan sewaktu bai'ah dijalankan.

Dalil kedua:
Dari Abdullah bin Amr bin al-As r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan dalam pembai'atan." (Riwayat Imam Ahmad)

Sunat berjabat tangan antara sesama lelaki atau sesama perempuan ketika bertemu.

Makruh berjabat tangan dengan orang yang mempunyai penyakit kusta.

Haram hukumnya berjabat tangan dengan amrad (lelaki muda yang belum tumbuh misai atau bulu) dengan disertai oleh syahwat.

g) Makruh memeluk dan mengucup kepala sesama lelaki atau sesama perempuan kecuali terhadap orang yang baru sampai dari musafir atau orang yang lama tidak ditemui. Bahkan perkara ini sunat dilakukan.

h) Sunat mengucup tangan orang soleh, warak, berilmu agama atau sebagainya yang dihormati dan dimuliakan dari segi agamanya. Manakala makruh hukumnya melakukan perkara tersebut terhadap orang yang dihormati dari sudut keduniaannya, seperti orang yang berpangkat, orang kaya atau sebagainya.

i) Diharuskan mengucup mayat orang soleh.

j) Sunat mengucup kanak-kanak sekalipun anak orang lain kerana kasih sayang.

k) Sunat berdiri untuk orang yang mempunyai kelebihan di dalam bidang ilmu agama kerana menghormatinya, bukan kerana riyak, membesarkan atau mengagungkannya.

l) Makruh membongkokkan badan terhadap sesiapa sahaja.


KEADAAN KEDUA: MELIHAT DENGAN HAJAT

Berikut ini adalah masalah yang berhubung kait dengan keadan kedua ini, iaitu:

1) Harus melihat muka dan tapak tangan perempuan ajnabi kerana hendak mengahwininya

2) Kerana hendak membeli hamba perempuan.

Diharuskan melihat selain dari anggota di antara pusat dan lutut.

3) Kerana bermuamalat atau berurusan dengan perempuan seperti berjual beli. Yang dibenarkan hanyalah melihat mukanya sahaja untuk mengenalinya.

4) Menjadi saksi, seperti melihat faraj atau zakar kerana menjadi saksi zina atau melihat buah dada kerana menjadi saksi penyusuan.

5) Harus melihat dan menyentuh perempuan ajnabi dengan tujuan berbekam atau mengubatinya, tetapi dengan dua syarat:
a) Pengubatan itu dilakukan di hadapan mahram, suami atau dua orang perempuan yang boleh dipercayai.
b) Tidak terdapat seorangpun perempuan yang boleh mengubatinya.

6) Harus melihat muka perempuan ajnabi dan amrad ketika mengajar dengan syarat:
a) Ketiadaan tenaga pengajar wanita.
b) Berkeuzuran untuk mengajar di balik tabir, sebagai contoh: Ketika mengajar menulis atau menjahit guru terpaksa mengajarnya tanpa tabir.
c) Ada mahram, suami atau dua perempuan yang boleh dipercayai bersama perempuan tersebut.

7) Haram mengajar isteri yang telah ditalak.

Demikian himpunan hukum-kukum yang berkaitan dengan aurat perempuan yang dikutip dari Al-Quran, Hadis dan Ulama-ulama yang Muktabar.

Kesimpulannya; tidak syak lagi bahawa WAJIB bagi seorang perempuan menutup kepala dan seluruh tubuh kepada lelaki-lelaki asing.

Sebagai pengakhirnya renungilah firman Allah Taala seperti di bawah, semoga sama-sama kita mendapat peringatanNya;

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." {Surah Al-Ahzab:36}
.
Allahu A'lam

Kebesaran Solat & Keistimewaannya

Utamakan ISLAM daripada segala-galanya di atas muka bumi ini

Assalamualaikum wrt kpd sahabat2 ukhwatul muslimin dan muslimat...

Just to share something that is quite interesting... .

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?." Lalu Allah berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya 'Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal... " Kemudian Jibrail as meminta izin keada Allah untuk melihat syura Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan... .."

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan...

Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam